Wednesday, May 12, 2010

Terima Kasih Cikgu Zara!

Butiran: Entri berkenaan pertandingan sempena Hari Guru 2010 yang dianjurkan oleh Lord Zara.

Tema: Kalau cikgu Zara cikgu saya

Isnin, 05 Januari 2009
"Arghhh!! Bosannya hari ni!" hatiku berkata dengan nada sedikit rengus. Hari pertama persekolahan memang amat tidak menyeronokkan bagi diriku. Seawal jam 06.00 pagi, ibu telah mengejutkan aku dari lena. Sememangnya aku amat liat untuk bangun pagi, tambahan pula telah terbiasa bangun lewat pada cuti sekolah yang hampir selama dua bulan itu. Dan kini, musim persekolahan telah pun bermula. 

Aku tatap jam di tanganku, jam sudah menunjukkan pukul  08.00 pagi dan aku telah melabuhkan punggung di kerusi. Ternampak kelibat wanita memasuki ruang kelas. "Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Nama saya cikgu Shafaza Zara. Kamu boleh memanggil saya cikgu Zara sahaja. Mulai dari detik ini, saya akan menjadi guru kelas kamu," perempuan itu memperkenalkan dirinya dengan senyuman paling mesra yang menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik. Aku hanya melihat dengan pandangan yang kosong. 


Jumaat, 16 Januari 2009
Waktu sudah hampir ke pukul 02.30 petang. Aku masih duduk teguh di hentian bas itu. Waktu persekolahan telah lama berakhir. "Mana mak ni? Lambatnya. Selalunya masa-masa begini dia dah sampai," Aku mengomel tanpa disedari sesiapa. "Pon Pon!" kedengaran bunyi hon dibunyikan. "Aqil, kamu tak balik lagi?" tiba-tiba cikgu Zara mengeluarkan kepalanya daripada tingkap kereta. Aku hanya menganggukkan kepala. Cikgu Zara menawarkan dirinya untuk menghantar aku balik. Oleh kerana aku sudah tidak sanggup lagi menanti ketibaan mak yang belum pasti muncul, aku menerima tawaran itu. Setibanya di destinasi, "terima kasih cikgu Zara," aku menitipkan kata sambil kakiku melangkah laju ke rumah. 


Isnin, 14 Februari 2009
Detik demi detik berlalu dengan pantas. Aku selalu murung bila berada di dalam kelas. Lemas aku dalam mainan perasaan yang menghantui diri. Aku rasa sangat tidak bebas, jiwaku meronta-ronta seakan burung yang dikurung tuannya. "Aqil.. Boleh saya jumpa awak lepas kelas?" lembut suara itu menyapa dari belakang secara tiba-tiba. Tersentakku dari lamunan ciptaan sendiri. "Errrr.. errr.. Baik cikgu Zara, nanti saya datang ke bilik cikgu."

Di bilik cikgu Zara. "Aqil... Kamu ada masalahkah? Selalu cikgu lihat kamu senyap saja di dalam kelas. Kamu  tidak seperti rakan-rakan sekelas yang lain. Aqil harus sematkan di dada untuk fokus dalam kelas. Tahun ni kan Aqil akan ambil PMR?" cikgu Zara menyusun kata sambil senyuman tetap tidak lekang dari bibirnya yang mulus. "Errmmm... ermmmm... Tak ada apa-apalah cikgu, Saya ok," aku menafikan sekerasnya sambil mata memandang ke lantai. Senyap seketika umpama malaikat melintas di laluannya.

Aku mengangkat kepala. Kelihatan cikgu Zara memandangku tepat ke mata. Terpancar sinar keikhlasan dan kasih sayang seorang guru kepada muridnya. Cikgu Zara benar-benar mengambil berat akan diriku. Hati yang tadinya dingin kini diwarnai dengan keharuan. Jiwaku tiba-tiba cair. "Se.. Sebenarnya. Saya  tak suka ke sekolah cikgu. Acapkali masuk ke dalam kelas, saya rasa amat tidak selesa dan tak bebas," aku melontarkan rasa dengan sedikit bergetar. Terdiam lagi. "Aqilkan murid cikgu. Pasti cikgu akan tolong kamu, janganlah kamu gusar", cikgu zara menabur janjinya penuh dengan keyakinan. Aku hanya mengangguk.


Khamis, 29 Februari 2009
Masa terus melangkah maju seiring dengan putaran bumi pada paksinya. Aku masih di sini dengan sepiku. Kerapkali juga cikgu Zara menasihatiku, memberi kata-kata azimat. Tapi rasanya ibarat mencurah air ke daun keladi. Keputusan ujian bulanan yang dijalankan pada minggu lepas telah pun keluar dan aku merupakan pelajar tercorot. Petang itu, cikgu Zara memanggilku semula ke biliknya.

Mataku bertemu dengan matanya. Sedikit takut melihat dia lantas aku halakan kepala ke bawah. "Aqil..." lembut suara itu memanggilku. Aku masih diam seribu bahasa. "Cikgu benar-benar nak tolong kamu. Tapi bagaimana cikgu nak tolong sedangkan kamu tidak mahu menolong diri sendiri. Percaya pada cikgu. Cikgu benar-benar ikhlas hendak membantu kamu," bertali arus kata-kata cikgu Zara menasihati dan memotivasikan aku.

Aku tidak dapat lagi menahan rasa ini yang telah lama aku simpan jauh-jauh dan sangat dalam di ruang hati. "Saya rindukan ayah!" hatiku menghamburkan rasa penuh emosi. Mataku sudah berkaca-kaca. Muka cikgu Zara sedikit terkejut. Aku ceritakan segala-galanya pada dia. Tentang aku dan ayah. Tentang pengorbanan ayah terhadapku. Tentang ayah yang menatangku bagai minyak yang penuh. Tentang ayah pergi sebelumku. Tentang sunyinya rasa tanpa ayah. Tentang lara dan rindu yang tak terucap. Dan tentang ibu yang sibuk dengan komitmen kerjanya. Cikgu zara menatapku dengan pandangan sayu. Ada genangan air mata di bibir matanya. "Cikgu akan senantiasa di sisi Aqil," ucap bibir merah itu.


Sabtu, 28 Mei 2009
Aku mengukir senyuman manis. "Tahniah Aqil atas keputusan ujian kamu yang amat cemerlang. Cikgu amat berbangga sekali dengan pencapaian kamu yang drastik ini". Kata yang masih terngiang-ngiang di telingaku. Amat besar sekali pengorbanan dan titik peluh yang cikgu Zara curahkan kepadaku. Cikgu Zaralah orangnya yang membangkitkan semangatku yang dahulunya hampir luntur. Lebih dari itu, kerapkali dia membuat kelas tambahan, mengajarku secara intensif di biliknya sehinggakan aku dapat mengecapi kejayaan seperti hari ini. "Terima kasih cikgu Zara!"




Rabu, 09 Julai 2009
Ada sampul surat di atas meja. Dengan rasa kehairanan dan tidak sabar aku membuka sampul itu. Ada kad di dalamnya. "Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-15 Aqil. Semoga Aqil akan berjaya dalam PMR yang akan datang ini. Cikgu ada kejutan untuk kamu. Cuba lihat bawah meja Aqil." Aku intai isi meja.  Sebuah diari hitam dan dua ketul "cupcake". Satu daripada "cupcake" itu tertulis nombor 1 dan "cupcake" yang kedua ditulis nombor lima mewakili umurku yang genap 15 tahun. "Terimalah hadiah dari hati, Cikgu Zara." Sungguh aku amat bersyukur dan terharu sekali akan hadiah yang diberikannya. "Terima kasih sekali lagi cikgu".


Khamis, 24 Disember 2009
Pagi itu amat dingin sekali. Sejuknya hingga menjalar ke tulang sum-sum. Mungkin kerana hujan yang amat lebat pada malam tadi barangkali. Hari ini adalah hari yang amat bersejarah bagi diriku. Ibu sudah berada di dalam kereta menunggu aku untuk sama-sama ke sekolah.

Hari ini keputusan PMR akan diketahui. Rasa berdebar usahlah ditanya lagi. Hanya aku seorang sahaja yang mengerti keterujaan itu. Adakah usahaku akan membuahkan hasil yang diharapkan? Tergambar di fikiran bayangan cikgu Zara dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya. Seorang cikgu yang amat aku sayangi dan hormati. "Saya berjanji tidak akan menghampakan cikgu," nekad hatiku bersuara.

Sesampainya di ruang sekolah aku disapa oleh teman sekelas ku. "Aqil! Tahniah! Tahniah! Awak dapat  A dalam semua subjek!" Secara automatik aku menjerit kegirangan. Aku melompat tanpa dipaksa-paksa. Seakan telah menang loteri berjuta-juta lagaknya. Aku gegas berlari ke papan kenyataan untuk melihat sendiri dengan mataku.

Memang benar kata temanku tadi. Airmata yang tadinya bergenang, kini telah meluncur laju melimpahi pipi. Aku telah berjaya. "Cikgu, saya dah tunaikan janji!" jerit hatiku penuh kepuasan. Aku menangis semahu-mahunya. Pengorbanan cikgu selama ini tidak pernah akan aku lupakan dan aku kenang hingga ke akhir hayatku. Akan aku ceritakan kepada anak-anakku kelak perihal seorang pendidik ulung yang berjiwa suci  pernah aku kenali. "Terima kasih cikgu Zara kerana menjadi cikgu saya!"

 Nota Kureno: Selamat hari guru untuk semua insan yang bergelar pendidik! Bila hari guru ye? Tak terlepas lagi kan? =P

No comments: